DISINILAH KAMI MENIMBA ILMU

Jumaat, 7 Januari 2011

FEQAH / Pergi Haji : Dalam Hutang Dan Secara Berhutang


Saya ada mendengar beberapa saranan kerajaan dan beberapa buah institusi kewangan Islam untuk sama ada memberikan pinjaman tanpa faedah ( Qardhul Hasan) ataupun pembiayaan secara Islam bagi mereka yang berminat untuk menunaikan fardhu haji.
Dalam isu berkaitan, timbul banyak persoalan seperti sama ada individu yang sedang menanggung hutang wajib atau wajar menunaikan haji.
Adakah pembayaran hutang perlu didahulukan dari menjadi tetamu Allah di Baitullah al-Haram?
Bagaimana pula jika hutang untuk tempoh yang panjang? Selain itu adakah wajar pula berhutang untuk menunaikan haji.?
Artikel ini dibuat bagi menjelaskan isu ini secara padat dan ringkas serta tidak terlalu berat dengan hujjah ilmiah.
Pertamanya elok jika kita melihat kepada firman Allah dari ayat :-
وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
Ertinya : ".. mengerjakan Haji adalah kewajiban manusia kepada Allah swt iaitu (bagi) orang yang berkemampuan dan sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah;.." ( Al-Imran : 97 )
Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas seseorang lelaki dan wanita selagi syarat "istita'ah" atau ‘kemampuan'  belum diperolehi.
Pengertian istita'ah secara mudah lagi ringkas, adalah SEBAGAIMANA YANG DINYATAKAN OLEH NABI s.a.w ketika ditanya akan ertinya, baginda Nabi s.a.w menjelaskan :
الزاد والراحلة
Ertinya : Bekalan dan pengangkutan perjalanan ( Riwayat At-Tirmidzi; berkata At-Tirmidzi & An-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu', 7/41 [1])
Jelas dari hadis yang memperincikan erti istita'ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu :-
1- Bekalan
Erti bekalan di sini adalah bekalan makanan, minuman dan pakaian  yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya. ( I'anah At-Tolibin, 2/281 ; Al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316)
2-  Kenderaan dan Perjalanan
Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya, kenderaan pula mestilah diperolehi sama ada dengan membelinya atau menyewa. ( Al-Mughni, Ibn Qudamah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan